BLOG KAMI

Ini adalah percubaan pertama oleh AJK IT KEM PLKN WHITE RESORT. Diharap pengunjung dapat memaafkan kekurangan yang ada dan sekiranya ada penambahbaikan mohon beritahu kami.

1. PERINTAH TETAP PELATIH PLKN

11 Jan 2010 by nsWhiteResort · 0 comments
Filed under:



1. AM

1.1. Perintah Tetap Pelatih ini hendaklah dipatuhi oleh setiap Pelatih pada setiap masa sepanjang mereka menjalani PLKN.

1.2. Arahan tambahan yang dikeluarkan dari masa ke semasa juga hendaklah dipatuhi oleh setiap Pelatih di sepanjang PLKN dilaksanakan.

1.3. Peraturan ini diguna pakai semasa berada di semua Kem PLKN dan juga semasa mengikuti aktiviti luar termasuk dalam kurikulum PLKN.


2. TEMPAT PLKN

2.1. Setiap Pelatih dikehendaki berada di Kem Latihan yang ditetapkan sepanjang PLKN.

2.2. Setiap Pelatih tidak dibenarkan keluar dari Kem Latihan kecuali setelah mendapat kebenaran daripada Komandan secara bertulis dan ditemani waris Pelatih.


3. URUSETIA PLKN

3.1. Setiap Pelatih wajib mematuhi arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh Komandan di sepanjang PLKN dilaksanakan.

3.2. Anggota Urusetia Kem adalah terdiri daripada anggota yang dilantik oleh JLKN.

3.3. Setiap Pelatih perlu berurusan dengan Pakar/Ketua Jurulatih/Jurulatih masing-masing dalam sebarang hal/masalah sebelum melaporkan kepada Urusetia untuk tindakan selanjutnya.

3.4. Semua Jurulatih bertugas akan memakai Toha (arm band) semasa mereka bertugas di pejabat atau di mana-mana tempat yang telah ditetapkan.

3.5. Semua Pelatih hendaklah menentukan Nombor Kad Pengenalan dan Nama adalah sama dengan yang tertera di dalam Buku Simpanan Bank, sebelum ianya diserahkan kepada Urusetia.


4. PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIPATUHI OLEH SETIAP PELATIH SEPANJANG MENJALANI LATIHAN PLKN

4.1. Adap dan Sopan sepanjang PLKN.

4.1.1. Setiap Pelatih hendaklah menjaga kesopanan dan kesusilaan di sepanjang perlaksanaan PLKN.

4.1.2. Setiap Pelatih hendaklah sentiasa menjaga sensitiviti kaum dan tidak menggunakan bahasa lisan atau bertulis yang boleh menimbulkan perasaan kurang senang kepada Pelatih lain.

4.1.3. Setiap Pelatih hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati antara satu sama lain, dengan pihak Urusetia, Jurulatih dan individu lain yang terlibat di dalam program latihan ini termasuk orang kampung, kakitangan awam dan lain-lain.

4.1.4. Setiap Pelatih lelaki hendaklah memastikan rambut mereka digunting mengikut potongan rambut Nombor 2, tidak bermisai dan tidak berjanggut. Bagi pelatih lelaki yang mempunyai kepantangan agama dan perlu menyimpan janggut dan misai perlulah mendapat kebenaran khas daripada Komandan.

4.1.5. Setiap Pelatih hendaklah patuh kepada waktu latihan, waktu rehat, waktu makan, waktu sembahyang dan lain-lain arahan yang dikeluarkan oleh Komandan.


4.2. Keselamatan/Kecemasan

4.2.1. Keselamatan Pelatih di sepanjang perlaksanaan PLKN adalah di bawah tanggungjawab Komandan.

4.2.2. Setiap Pelatih mesti memakai dan mempamerkan tanda nama masing-masing (tertakluk kepada kesesuaian aktiviti) di sepanjang PLKN dijalankan.

4.2.3. Pelawat tidak dibenarkan memasuki kawasan tempat latihan atau berjumpa dengan Pelatih kecuali setelah mendapat kebenaran daripada Komandan.

4.2.4. Ibu bapa boleh melawat Pelatih pada setiap hari Sabtu bagi Kem PLKN White Resort mulai jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

4.2.5. Ibu bapa tidak dibenarkan membawa Pelatih keluar pada hari lawatan tanpa kebenaran daripada Komandan.

4.2.6. Sebarang insiden kemalangan atau kecemasan hendaklah dilaporkan serta-merta kepada Komandan, Timbalan Komandan, Ketua Jurulatih, Jurulatih, Urusetia atau Pegawai yang bertugas untuk tindakan selanjutnya.

4.2.7. Apabila terdengar bunyi siren kecemasan tanpa henti, semua Pelatih hendaklah berkumpul di tempat yang ditetapkan oleh Kem.

4.2.8. Setiap Pelatih mestilah mematuhi arahan-arahan keselamatan daripada Jurulatih atau Pegawai Bertugas.

4.2.9. Semasa pergerakan di waktu malam, Pelatih Wirawati dikehendaki bergerak secara berkumpulan.

4.2.10. Setiap Pelatih tidak dibenarkan memakai barang kemas atau barang berharga sepanjang mengikuti latihan PLKN.

4.2.11. Setiap Pelatih dilarang sama sekali melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan juga kepada Pelatih-pelatih lain yang berada di dalam Kem.


4.3. Peraturan Berpakaian

4.3.1. Setiap Pelatih hendaklah sentiasa memakai pakaian yang disediakan khusus untuk sesuatu latihan yang telah ditetapkan sepeti berikut :-

4.3.1.1. PAKAIAN NO.1 – Pakaian ‘Physical Training’ (PT)

- ‘Track Bottom’

- Baju Sukan Lelaki / Wanita

- Kasut Sukan

- Sarung Kaki Putih

- Topi ‘Base Ball’

- Kain Tudung Biru (Pelatih Muslim digalakkan)

4.3.1.2. PAKAIAN NO. 2 – Pakaian Kelas

- Baju Kelas Lelaki / Wanita

- Seluar Kelas Lelaki / Wanita

- Kasut Kelas Lelaki / Wanita

- Sarung Kaki Hitam

- Kain Tudung Biru (Pelatih Muslim digalakkan)

- Tali Pinggang Kelas

- Tanda nama

- Topi ‘Base Ball’ atau Beret


4.3.1.3. PAKAIAN NO. 3 - Pakaian Celoreng JLKN

- Baju Celoreng Lelaki / Wanita

- Seluar Celoreng Lelaki /Wanita

- Beret

- Tali Pinggang Medan

- Kasut ‘Spike’ / ‘Combat Boot’

- Sarung Kaki Kelabu

- ‘Inner T-Shirt ‘

- Kain Tudung Biru (Pelatih Muslim digalakkan)


4.3.1.4 PAKAIAN NO. 4 - Pakaian Separuh Celoreng JLKN

- Baju Sukan Lelaki / Wanita

- Seluar Celoreng Lelaki /Wanita

- Beret

- Tali Pinggang Medan

- Kasut ‘Spike’ / ‘Combat Boot’

- Sarung Kaki Kelabu


4.3.2. Setiap Pelatih hendaklah memakai pakaian yang bersih dan kemas.

4.3.3. Setiap Pelatih hendaklah memakai pakaian yang bersopan dan tidak menjolok mata semasa memakai pakaian awam.

4.3.4. Semua Pelatih diwajibkan memakai pakaian Nombor 2 (Pakaian Kelas) sewaktu ke majlis keagamaan atau bersembahyang di luar Kem.

4.3.5. Bagi Pelatih yang beragama Islam, mereka digalakkan memakai pakaian yang menutup aurat sama ada semasa latihan atau semasa berada di luar latihan.

4.3.6. Bagi Pelatih perempuan beragama Islam, mereka digalakkan untuk memakai tudung.


4.4. Penglibatan Dalam Semua Modul

4.4.1. Setiap Pelatih diwajibkan menghadiri dan mengambil bahagian di dalam semua aktiviti yang ditetapkan dalam PLKN.

4.4.2. Setiap Pelatih yang gagal menghadiri dan mengambil bahagian di dalam semua aktiviti yang ditetapkan di dalam program ini tanpa sebab boleh dikenakan tindakan disiplin .

4.4.3. Mana-mana Pelatih yang mengalami sebarang masalah kesihatan yang boleh menjejaskan penglibatannya dalam program ini hendaklah memaklumkan kepada pihak Urusetia dengan segera untuk tindakan Komandan selanjutnya .

4.4.4. Setiap Pelatih mestilah berada di tempat atau lokasi latihan sepuluh minit sebelum masa yang telah ditetapkan .

4.4.5. Setiap Pelatih mestilah mematuhi arahan yang diberikan oleh Jurulatih pada sebilang masa di dalam semua latihan dan modul.

4.4.6. Semua Pelatih hendaklah bergerak secara berkumpulan di sepanjang program dijalankan.

4.4.7. Semua aktiviti latihan dijalankan di bawah pengawasan Jurulatih.


4.5. Sifat-sifat Pelatih

4.5.1. Seseorang Pelatih mesti mempunyai objektif atau sikap yang positif sebelum menghadiri sesuatu latihan. Pelatih seharusnya menggunakan peluang yang diberikan untuk berusaha menimba sebanyak mungkin ilmu bagi mencapai objektif mengikuti PLKN.

4.5.2. Beberapa sifat berikut perlu dipunyai oleh seseorang Pelatih yang baik :

4.5.2.1. Sikap Positif. Pelatih mesti mempunyai sikap yang betul lagi positif sebelum menghadiri latihan. Mereka patut mengambil peluang keemasan ini untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan ilmu yang sedia ada.

4.5.2.2. Bersikap Memajukan Diri. Pelatih perlu bersedia secara mental dan fizikal. Persiapan ini sedikit sebanyak dapat membantu seseorang Pelatih untuk memulakan peranannya sebagai seorang pelajar. Jurulatih hanya mampu menyampaikan pelajaran dan terpulanglah kepada Pelatih untuk menerimanya.

4.5.2.3. Sifat Berlumba. Sifat berlumba secara sihat perlu ada di kalangan Pelatih. Ini akan menjadi penggerak dan pendorong untuk memperbaiki prestasi dan mengekalkan sepanjang latihan.

4.5.2.4. Menepati Masa. Pelatih mesti menepati masa dalam apa jua bidang sekalipun.

4.5.2.5. Bertatatertib. Mutu tatatertib yang tinggi mesti dipelihara sebilangan masa. Pelatih perlu berpakaian kemas dan segak. Arahan Jurulatih perlu dipatuhi dan sekiranya Pelatih fikirkan arahan tersebut keterlaluan, pengaduan boleh dibuat melalui saluran pemerintahan yang ada.

4.5.2.6. Menyuarakan Pendapat. Pelatih perlu mengeluarkan pendapat dan pandangan semasa sesi perbincangan. Jangan hanya menjadi “penumpang” tanpa melibatkan diri kerana ini jelas merugikan Pelatih sendiri.

4.5.2.7. Hormat-Menghormati. Pelatih perlu menghormati Staf dan Jurulatih dan sesama Pelatih. Ini akan mewujudkan suasana yang harmoni di dalam sesuatu kumpulan.

4.5.2.8. Kejujuran. Pelatih perlu bersikap jujur dalam keghairahan mencapai keputusan yang cemerlang. Pelatih mesti bebas dari segala gejala yang kurang sihat dan tidak bermaruah seperti hasad dengki.

4.5.2.9. Bekerjasama. Pelatih perlu bekerjasama sesama sendiri dan bertukar-tukar pendapat. Peluang ini patut diambil sebaik mungkin kerana terdapat Pelatih-Pelatih yang datang dari berbagai agama, bangsa, budaya dan negeri.


4.5.3. Seseorang Pelatih PLKN yang Bertanggungjawab Hendaklah:

4.5.3.1. Patuhi Kepada Arahan. Pelatih perlu mematuhi segala arahan yang di berikan mengikut saluran undang-undang.

4.5.3.2. Bermotivasi Tinggi dan Bersikap Positif. Pelatih perlu bermotivasi tinggi untuk belajar dan juga bersifat positif seperti aktif, kreatif, inovasi, pro-aktif dan mempunyai daya saing yang tinggi.

4.5.3.3. Sedia Menerima Teguran. Pelatih hendaklah sentiasa menerima teguran dan tunjuk ajar untuk kebaikan diri dan kumpulan.

4.5.3.4. Rajin Membuat Ulangkaji. Pelatih hendaklah rajin membuat ulang kaji dan latihan tambahan.

4.5.3.5. Bertanggungjawab. Pelatih perlu bertanggungjawab terhadap latihan masing-masing dan melaksanakan latihan-latihan yang diarahkan.

4.5.3.6. Bermatlamat. Pelatih perlu mempunyai matlamat dalam menghadiri sesuatu latihan supaya ia mempunyai kesedaran untuk menguasai pengetahuan atau kemahiran yang di ajarkan.

4.5.3.7. Berkomunikasi. Pelatih perlu mewujudkan komunikasi yang baik dengan Jurulatih dan juga dengan Pelatih-pelatih lain.

4.5.3.8. Menepati Masa. Pelatih hendaklah menepati masa dalam semua aspek aktiviti yang dijalankan.

4.5.3.9. Bekerjasama. Pelatih perlu sentiasa memupuk semangat bekerjasama samada dalam latihan sindiket ataupun latihan-latihan lain. Pelatih sentiasa memupuk semangat setiakawan yang erat.

4.5.3.10. Galakan Untuk Berbincang. Perbincangan di kalangan Pelatih juga perlu dipergiatkan.

4.5.3.11. Berpengetahuan. Pelatih mestilah mempunyai pengetahuan asas terhadap pelajaran supaya dapat mengikuti latihan ini dengan selesa.

4.5.3.12. Menggunakan Kemudahan Dengan Baik. Pelatih hendaklah menggunakan segala kemudahan yang disediakan dengan baik.

4.5.3.13. Memupuk Budaya Membaca. Pelatih mestilah banyak membaca untuk mendapat ilmu pengetahuan mengenai maklumat-maklumat terbaru berkenaan pelajaran.

4.5.3.14. Sihat Fizikal dan Mental. Sebagai seorang Pelatih yang masih muda perlulah mempunyai fizikal yang sihat.

4.5.3.15. Kualiti Sebagai Sasaran. Untuk menjadi Pelatih yang cemerlang dan berkualiti, hendaklah diutamakan dalam setiap bidang kerana ianya mempunyai kaitan dengan keputusan latihan anda.

4.5.3.16. Keyakinan Diri. Dengan keyakinan diri yang tinggi, cabaran dan masalah yang dihadapi akan dapat diatasi dengan baik.

4.5.3.17. Kebolehan Mencatat Nota. Pelatih hendaklah berkebolehan untuk mencatat nota-nota yang dirasakan penting.

4.5.3.18. Berkongsi Pengetahuan
. Pelatih boleh berkongsi pengetahuan samada dengan Pelatih lain ataupun Jurulatih.


4.6. Peraturan Kebersihan

4.6.1. Kawasan Di Dalam Bilik Penginapan.

4.6.1.1. Tempat tidur mestilah sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur.

4.6.1.2. Tilam mestilah sentiasa dialas dengan kain cadar dan bantal disarungkan dengan sarung bantal.

4.6.1.3. Kedudukan katil mestilah lurus dan tersusun dengan katil-katil lain.

4.6.1.4. Di bahagian bawah katil, hanya dibenarkan meletak kasut/beg yang sederhana besar.

4.6.1.5. Barang dan pakaian Pelatih tidak dibenarkan disidai atau disangkut di dalam kawasan bilik.

4.6.1.6. Keadaan sekitar atau tempat penginapan mestilah bersih dan kemas sentiasa.

4.6.1.7. Semua barang yang tidak digunakan hendaklah disimpan di dalam almari yang disediakan dan pakaian yang basah boleh disidai di luar kediaman atau di ampaian yang disediakan saja.

4.6.1.8. Semua bilik hendaklah sentiasa kemas dan teratur dan siap sedia untuk menerima pemeriksaan dari masa ke semasa.


4.6.2. Kawasan Bilik Mandi dan Tandas.

4.6.2.1. Bilik mandi dan tandas hendaklah sentiasa bersih.

4.6.2.2. Sabun, ubat gigi dan berus gigi milik persendirian hendaklah disimpan dengan baik.

4.6.2.3. Dilarang membuang tuala wanita atau apa-apa bahan yang boleh menyebabkan tandas tersumbat.

4.6.2.4. Kebersihan keseluruhan bilik mandi dan tandas di Kem adalah di bawah tanggungjawab Pengusaha Kem. Namun Pelatih-pelatih perlu bekerjasama untuk mengekalkan kebersihan serta menjaga peralatan di dalam bilik mandi dan tandas.


4.6.3. Kawasan Luar Bilik Penginapan.

4.6.3.1. Kawasan di luar bilik seperti longkang dan beranda mestilah sentiasa bersih. Begitu juga di sekitar kawasan Bilik Penginapan.

4.6.3.2. Dilarang membuang sampah merata-rata tempat. Sampah hendaklah dibuang di dalam tong sampah yang disediakan.

4.6.3.3. Dilarang memijak rumput (jika terdapat arahan melarang) dan gunakan laluan yang disediakan.


4.6.4. Tempat Sembahyang.

4.6.4.1. Tempat sembahyang mestilah sentiasa bersih.

4.6.4.2. Dilarang sama sekali menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan agama dan yang boleh mencemarkan tempat beribadat seperti berdua-duaan (Wira dan Wirawati).


4.6.5. Dewan Ceramah.

4.6.5.1. Semua Pelatih adalah bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan susun atur kerusi dan meja di dalam dewan.

4.6.5.2. Penggunaan Dewan Ceramah yang tidak dijadualkan mestilah dengan kebenaran TKP.


4.6.6. Dewan Makan.

4.6.6.1. Semua Pelatih adalah bertanggungjawab menjaga kebersihan dan susun atur kerusi dan meja di dalam Dewan Makan.

4.6.6.2. Sisa-sisa makanan hendaklah dibuang di tempat yang disediakan.

4.6.6.3. Kebersihan dan penyelenggaraan keseluruhan Dewan Makan adalah di bawah tanggungjawab Pengusaha Kem.


4.7. Penggunaan Air dan Elektrik.

4.7.1. Lampu, kipas, dan peralatan elektrik lain hendaklah sentiasa ditutup sebelum semua Pelatih meninggalkan Bilik Penginapan, Dewan Ceramah, Dewan Makan, Bilik Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan Surau.

4.7.2. Tidak dibenarkan melakukan aktiviti memasak menggunakan bekalan elektrik (’Water Hitter’/cerek eletrik).

4.7.3. Tidak dibenarkan masuk dan mandi di dalam kolah air yang disediakan.


4.8. Perkara-perkara Lain Yang Perlu Dipatuhi.

4.8.1. Memberi Hormat. Semua Pelatih dikehendaki menghormati semua Staf dan Jurulatih serta Komandan.

4.8.2. Merokok. Semua Pelatih tidak dibenarkan merokok sepanjang PLKN dijalankan.

4.8.3. Bercuti dan Keluar Kem. Semua Pelatih tidak dibenarkan pergi bercuti semasa program ini berlangsung, melainkan dengan kebenaran.


4.8.4. Kawasan Larangan.

4.8.4.1. Pelatih tidak dibenarkan berada di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan sebilang masa.

4.8.4.2. Kawasan penginapan Pelatih Perempuan adalah kawasan larangan sebilang masa kepada Pelatih Lelaki, Staf Lelaki dan Jurulatih Lelaki dan kawasan penginapan Pelatih Lelaki adalah kawasan larangan kepada Pelatih Perempuan, Staf Wanita dan Jurulatih Wanita. Kebenaran hanya boleh dibuat bagi tujuan pemeriksaan setelah kebenaran diperolehi daripada Komandan.


4.8.5. Pergaulan Bebas

4.8.5.1. Semua Pelatih dilarang bergaul bebas sesama Pelatih Lelaki, Pelatih Perempuan, Staf, Jurulatih dan pekerja Pengusaha Kem .

4.8.5.2. Mana-mana Pelatih yang didapati melanggar peraturan akan diambil tindakan tatatertib.


4.8.6. Dewan Makan dan Dapur.

4.8.6.1. Semua Pelatih tidak dibenarkan membawa keluar makanan dari Dewan Makan melainkan atas kebenaran daripada Jurulatih.

4.8.6.2. Alat-alat yang kotor mesti dicuci sebelum meninggalkan Dewan Makan. Segala sisa makanan mestilah dibuang ke dalam bekas yang disediakan.

4.8.6.3. Sentiasa berpakaian kemas semasa berada di Dewan Makan. Penggunaan selipar tidak dibenarkan.


4.8.7. Ampaian Kain. Semua jenis pakaian hendaklah dijemur di ampaian yang disediakan.


4.8.8. Penjagaan dan Penyelenggaraan Pakaian dan Alat Kelengkapan.

4.8.8.1. Semua Pelatih adalah bertanggungjawab tentang keselamatan, penyelenggaraan, kebersihan dan penyimpanan pakaian dan peralatan yang dipinjamkan kepada mereka untuk kegunaan masing-masing. Tindakan tatatertib akan diambil terhadap mereka yang didapati lalai menjaga pakaian atau peralatan mereka.

4.8.8.2. Segala kerosakan dan kehilangan mestilah dilaporkan kepada Jurulatih dengan segera.

4.8.8.3. Pelatih yang hendak meninggalkan kem kerana telah menamatkan program atau dihantar balik hendaklah menyerahkan semua peralatan tidur mereka dan segala barang-barang kelengkapan yang dipinjam .


4.8.9. Keselamatan Peralatan Persendirian. Semua Pelatih hendaklah mengambil tindakan untuk menentukan keselamatan barang/peralatan persendirian. Mereka dilarang sama sekali membawa barang berharga. Semua almari hendaklah dikunci sebilang masa.


4.8.10. Kelakuan Di Khalayak Ramai.

4.8.10.1. Semua Pelatih hendaklah setiap masa berpakaian kemas semasa berada di khalayak ramai dan mengawal kelakuan mereka agar nama baik diri sendiri dan JLKN terpelihara.

4.8.10.2. Semua Pelatih dikehendaki menunjukkan kesopanan yang tinggi pada setiap masa apabila berurusan dengan berbagai-bagai jenis kumpulan atau badan dan dikehendaki bersopan santun dan menghormati pihak berkuasa yang lain.

4.8.11. Perbuatan Sumbang Di Dalam Kawasan Kem. Perbuatan berdua-duaan antara Pelatih Lelaki dan Pelatih Perempuan di kawasan yang boleh menimbulkan syak wasangka dan bertentangan dengan tatasusila perlulah ditegah sama sekali.


4.9. Larangan Tambahan Kepada Pelatih.

4.9.1. Setiap Pelatih dilarang melakukan perkara-perkara seperti berikut :

4.9.1.1. Melakukan apa-apa tindakan yang dianggap salah dari segi Undang-undang Negara, peraturan masyarakat dan agama.

4.9.1.2. Memakai subang, bertindik, dan lain-lain yang seumpamanya untuk Pelatih Lelaki.

4.9.1.3. Mengadakan perhimpunan haram.

4.9.1.4. Membawa, menyimpan dan menggunakan sebarang senjata tajam atau senjata yang merbahaya.

4.9.1.5. Membawa dan membaca atau menyimpan bahan lucah.

4.9.1.6. Berada di kawasan penempatan Pelatih dan jantina yang berlainan.

4.9.1.7. Melakukan sebarang kerosakan ke atas harta benda, kemudahan awam, alam semulajadi dan lain-lain .

4.9.1.8. Berada di tempat lain selain dari tempat tidur sendiri apabila arahan padam lampu dikuatkuasakan .

4.9.1.9. Memberikan maklumat mengenai aktiviti latihan kepada media massa atau orang luar .

4.9.1.10. Berdua-duaan antara Pelatih atau Jurulatih dan Staf berlainan jantina sepanjang latihan berjalan.

4.9.1.11. Pelatih dilarang memberi maklumat palsu atau yang tidak benar berkaitan dengan sebarang kejadian yang melibatkan kepentingan peribadi.


4.10. Panggilan Kepada Pelatih dan Jurulatih.

4.10.1. Setiap Pelatih lelaki akan dipanggil WIRA dan setiap pelatih Wanita dipanggil WIRAWATI.

4.10.2. Setiap Pelatih hendaklah memanggil TUAN kepada Komandan, TKP dan TKL, CIKGU kepada setiap Jurulatih dan Staf kepada semua anggota Pengurusan, Perubatan, Logistik dan Unit Agama.


4.11. Peraturan Khas.

4.11.1. Penggunaan Telefon Bimbit / Awam.

4.11.1.1. Mana-mana Pelatih tidak digalakkan membawa telefon bimbit semasa menjalani latihan khidmat negara di mana-mana kem di seluruh negara.

4.11.1.2. Telefon bimbit yang dibawa hendaklah diserahkan kepada Pihak Pengurusan dan hanya boleh digunakan pada hujung minggu iaitu hari Sabtu dan hari Ahad sahaja.

4.11.1.3. Penggunaan telefon awam dibenarkan kepada semua Pelatih pada waktu rehat sahaja (kecuali kecemasan) dan hendaklah diasingkan antara Pelatih Lelaki dan Wanita.


4.11.2. Makanan.

4.11.2.1. Mana-mana Pelatih hanya dibenarkan membawa makanan ringan kegemaran masing-masing ke dalam dorm dalam kuantiti yang kecil.

4.11.2.2. Pelatih yang memakan makanan “vegetarian” hendaklah memaklumkan kepada Urusetia di Kem sewaktu melaporkan diri. (terangkan juga hari pengambilan’Vegetarian’ tersebut).

4.11.2.3. Makanan yang tidak halal termasuk minuman keras tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam kem sama sekali.

4.11.3. Penderaan dan Jenayah. Setiap kejadian penderaan dan jenayah oleh Pelatih akan dilaporkan kepada Pihak Polis.

4.11.4. Pelatih Mengandung. Pelatih wanita yang mengandung dilarang sama sekali menyertai program ini.

4.11.5. Pelatih Berpenyakit Yang Boleh Membawa Maut. Pelatih yang berpenyakit yang boleh membawa maut akan dikecualikan daripada menyertai program PLKN ini.

4.11.6. Pelatih Masih Belajar. Pelatih yang masih di bangku sekolah akan diberi penangguhan daripada menyertai program PLKN.

4.11.7. Penglibatan Dengan Dadah. Pelatih yang didapati membawa, menyimpan, memiliki, menggunakan dan menagih dadah akan dilaporkan terus ke pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

4.11.8. Vandalism/Gangsterism. Apa jua bentuk ’vandalism/ gangsterism’ yang dilakukan oleh Pelatih akan dilaporkan kepada Pihak Polis atas pertimbangan Komandan.


5. BERTUGAS MALAM.

5.1. Pelatih mesti mematuhi Arahan Bertugas Malam yang telah dirancang dan dijadualkan oleh Komandan.

5.2. Pelatih mesti berada 15 minit lebih awal daripada waktu bertugas yang ditetapkan.

5.3. Pelatih mesti memakai pakaian celoreng JLKN lengkap ketika bertugas malam dan membawa peralatan yang disediakan.

5.4. Pelatih tidak dibenarkan keluar daripada kawasan bertugas yang telah ditetapkan oleh Komandan.

5.5. Pelatih mesti bertugas berpasangan dengan jantina yang sama. (2 orang Pelatih Wira untuk kawasan Pelatih Wira dan 2 orang Pelatih Wirawati untuk kawasan Pelatih Wirawati).

5.6. Pelatih yang bertugas selepas waktu 12.00 malam akan dibenarkan untuk melapor jam 9.00 pagi keesokkan harinya (Tertakluk kepada arahan aktiviti keesokkan harinya dan budi bicara Komandan).

5.7. Membuat laporan kepada Jurulatih Bertugas jika ada sebarang perlanggaran keselamatan atau masalah.


6. JADUAL LATIHAN DAN AKTIVITI HARIAN

6.1. Bangun Pagi(Solat Subuh) - Jam 0500 - 0630 pagi

6.2. Senaman Pagi/Jasmani - Jam 0630 - 0730 pagi

6.3. Sarapan Pagi - Jam 0730 - 0900 pagi

6.4. Aktiviti Kelas/Dewan Kuliah - Jam 0900 - 1030 pagi

6.5. Minum Pagi - Jam 1030 - 1100 pagi

6.6. Aktiviti Kelas/Dewan Kuliah - Jam 1100 - 1230 t.hari

6.7. Makan Tengahari/Solat Zohor - Jam 1230 - 1430 petang

6.8. Aktiviti Latihan Fizikal - Jam 1430 – 1630 petang

6.9. Minum Petang/Solat Asar - Jam 1630 - 1730 petang

6.10. Riadah - Jam 1730 - 1830 petang

6.11. Makan Malam/Solat Maghrib Solat Isyak - Jam 1830 - 2100 malam

6.12. Kelas Malam/Refleksi Latihan/Rehat - Jam 2100 - 2230 malam

6.13. Minum Malam - Jam 2230 - 2300 malam

6.14. Berkumpul/Arahan/Lampu Dipadam - Jam 2300 malam

Comments

0 comments to "1. PERINTAH TETAP PELATIH PLKN"

Speak Your Mind

PENAFIAN DAN PEMBERITAHUAN

Segala isi kandungan dan gambar-gambar di dalam blog ini tidak boleh ditiru, dihasilkan semula dalam bentuk-bentuk lain, dipindahmilik, dicetak, disimpan atau digunakan semula. Setiap rujukan hendaklah memberi kredit dan/atau rujukan kepada blog ini.

Apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, ancaman atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, atau memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, adalah melakukan suatu kesalahan. Tindakan boleh diambil mengikut Akta 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998
Related Posts with Thumbnails